Saturday, April 25, 2015

Jangan biarkan hatimu keras dan lalai

Jangan biarkan hatimu keras dan lalai

Waspadalah anda, jangan bersifat keras hati dan bersikap kasar, sehingga apabila diberi nasihat tidak akan memberi kesan apa pun. Hati tidak akan merasa hiba lagi, bila disebutkan maut, dan tidak gentar mendengar janji-janji balasan dari Allah dan ancamanNya mengenai hal-ehwal akhirat.

Sabda Rasulullah s.a.w.:

"Yang amat jauh kepada Allah Ta'ala ialah hati yang keras."
Sabdanya lagi:

"Empat perkara menjadi tanda kejahatan, iaitu: Hati yang keras, mata yang beku, sentiasa berkira-kira dan panjang harapan."


Awasilah diri anda dari empat sifat yang merbahaya itu! Dalam sebuah Hadis yang lain, Nabi bersabda:



“Ingatlah bahawa Allah tiada akan menerima doa dari hati yang lalai."

Sifat lalai itu adalah sifat yang lain, tidak sama dengan sifat keras hati. Sifat ini adalah tercela dan mengandungi bahaya yang besar. Hati yang lalai ialah hati yang tidak tahu diuntung dan tidak sedar ketika diingatkan dengan berbagai-bagai petunjuk dari perintah-perintah Allah Ta'ala dan larangan-laranganNya.

Ia tidak akan mengendahkan samasekali nasihat-nasihat itu kerana hatinya telah dibelenggui oleh sifat lalai dan lupa disebabkan terlalu banyak urusan pekerjaan dan permainan dari bermacam-macam keindahan dunia dan peluasan hawanafsu.
Allah telah berfirman kepada RasulNya a.s.:


"Ingatlah Tuhan di dalam hatimu dalam keadaan rendah hati dan takut, dan bukan dengan suara keras di waktu pagi dan petang, dan janganlah engkau tergolong ke dalam kumpulan orang-orang yang lalai." (al-A'raf: 205)

Allah telah melarang RasulNya supaya tidak menjadi orang yang lalai, sebagaimana Dia melarang juga supaya tidak mentaati orang-orang yang lalai itu atau mengikut jejak langkah mereka.

Allah berfirman lagi:


"Dan janganlah engkau turuti kaum yang Kami (Allah) lalaikan hatinya dari mengingati Kami. Lalu ia tunduk kepada hawa-nafsunya, maka menjadilah urusannya itu sesia belaka (tidak berguna)." (al-Kahf: 28)

Seseorang itu dikira lalai juga apabila dia membaca al-Quran al-Karim atau mendengarnya, akan tetapi tiada merenungkan maknanya atau mendalami maksudnya, tiada menuruti perintah dan larangan, tiada menuruti nasihat dan teguran yang terkandung di dalam ayat-ayatnya. Demikian pula hukumnya sama terhadap Hadis Rasulullah s.a.w. serta ucapan para salaf saleh redhwanullahi alaihim ajmain.

Seseorang itu dikira lalai apabila ia tiada mengingati mati, dan tiada memandang berat tentang hal-ehwal yang bakal berlaku sesudah mati, samada ia tergolong ahlis-sa'adah (orang-orang yang berbahagia), atau tergolong ahlis-syaqawah (orang-orang yang celaka), ia tidak pernah mahu memikirkan semua itu.

Seseorang itu dikira lalai juga apabila ia tiada selalu mendampingi para alim-ulama yang akan mengingatkannya akan Allah dan agamanya, dan yang akan menyedarkannya akan hari-harinya yang baki dan nikmat-nikmat Allah Ta'ala yang sedang diterimanya, di samping janji-janji dan ancamanNya. Bukankah para alim-ulama itu sering mengambil berat agar seseorang itu sentiasa berada dalam taat kepada Allah dan jauh dari maksiatNya dengan menaburkan nasihat-nasihat yang berguna dan menunjukkan perbuatan-perbuatan yang baik?

Sekiranya para alim-ulama itu tiada kedapatan lagi, maka cukuplah buku-buku yang mereka susun itu untuk menggantikan mereka.
Walau bagaimanapun dunia ini tidak akan luput dari para alim- ulama Insya Allah, meskipun kerosakan zaman telah umum di mana-mana. Perkara-perkara yang batil telah banyak tersebar, sedang orang yang mencetuskannya merajalela meliputi orang-orang yang di peringkat tinggi dan rendah. Mereka itu telah mem-belakangi Tuhan dan membelakangi perintahNya, serta tiada menegakkan yang hak. Hanya orang-orang yang terselamat dari bencana ini sedikit sekali bilangannya, sesuai dengan sabda Rasulullah s.a.w.:

"Sekumpulan dari umatku akan terus berdiri teguh atas kebenaran, tiada akan membahayakan mereka sesiapa yang menentangnya, sehinggalah tiba ketentuan dari Allah Ta'ala."

Ada banyak lagi berita dan cerita yang menceritakan bahwa dunia ini tidak akan luput dari orang-orang yang mempertahankan kebenaran dan berdiri atas Kitab Allah (al-Quran) dan sunnah Rasul-Nya (Hadis) pada bila-bila masa sekalipun. Hanya bilangan orang-orang ini akan terus berkurangan di akhir zaman. Mungkin juga mereka itu akan menyembunyikan diri, sehingga tiada dapat dikenali oleh umum lagi, melainkan penuntut-penuntut yang benar-benar mencari dan mencintainya dengan penuh ikhlas, Wallahu a'lam.

No comments:

Post a Comment