Keutamaan selawat dan salam ke atas Nabi
Adapun selawat ke atas Rasulullah s.a.w. itu kelebihannya sangat besar, dan manfaatnya amat banyak di dunia dan akhirat bagi orang-orang yang suka memperbanyak ucapannya.
Allah telah berfirman di dalam al-Quran al-Karim:
Sesungguhnya Allah dan para MalaikatNya berselawat kepada Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah ke atasnya dan bersalamlah kepadanya dengan sepenuh salam (kehormatan)." (al-Ahzab: 56)
Kiranya memadailah apa yang diutarakan oleh Allah s.w.t. di dalam ayat ini sebagai menunjukkan kemuliaan dan kehormatan terhadap junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w., dan sebagai menggalakkan terhadap kita hamba-hambaNya yang Mu'minin untuk memberikan selawat dan salam ke atasnya.
Bersabda Rasulullah s.a.w.:
"Barangsiapa yang berselawat ke atasku sekali, niscaya Allah akan membalasnya dengan selawat sepuluh kali."
Berkata setengah ulama Muhaqqiqin rahimahumullah: Sekiranya Allah s.w.t. berselawat ke atas seorang hamba di sepanjang hayatnya sekali saja, niscaya selawat yang satu itu cukup untuk menjadikannya mulia lagi terhormat. Kini betapa pula dengan sepuluh selawat yang bakal diterimanya dari Allah Ta'ala atas setiap selawat yang diucapkan ke atas Nabinya s.a.w.? Kita harus bersyukur atas ganjaran yang besar dan kurnia yang tiada taranya dari Allah s.w.t.
Bersabda Rasulullah s.a.w. lagi:
"Barangsiapa yang berselawat ke atasku satu selawat, niscaya
Allah akan membalasnya dengan sepuluh selawat, mengangkat kedudukannya sepuluh darjat, mencatitkan baginya sepuluh kebajikan, dan menggugurkan daripadanya sepuluh kejahatan."
Sabdanya lagi:
"Orang utama yang mendapat syafaatku di Hari Kiamat, ialah orang yang banyak berselawat ke atasku."
Sabdanya lagi:
"Siapa yang mengucap: Allaahumma Shalli 'AlaaMuhammad (Ya Allah! Ya Tuhanku! Sampaikanlah selawat ke atas Muhammad), dan kurniakanlah dia kedudukan yang hampir kepadaMu di Hari Kiamat, maka ia pasti akan mendapat syafaatku."
Sabdanya lagi:
"Siapa yang berkata: Mudah-mudahan Allah membalas baik sepantas yang harus diterimanya bagi pihak kami, niscaya ia akan menyibukkan tujuhpuluh Malaikat pencatit selama seribu hari."
Sabdanya lagi:
"Berselawatlah ke atasku di mana saja kamu berada, maka sesungguhnya selawat kamu itu sampai kepadaku."
Ada sebuah riwayat menyebut, bahwasanya Allah Ta'ala telah menyediakan para Malaikat yang mengelilingi bumi yang bertugas untuk menyampaikan selawat kepada Nabi Muhammad s.a.w. daripada umatnya.
Riwayat yang lain pula mengatakan, bahwasanya tiada seseorang dari umat Muhammad yang memberi salam kepada Nabinya,
Melainkan Allah s.w.t. mengembalikan roh Muhammad yang mulia kepada jasadnya supaya baginda membalas salam orang itu.
Mengenai ganjaran terhadap salam, tersebut di dalam sebuah riwayat yang mengatakan bahwa atas tiap-tiap salam yang diucap setiap Muslim, maka Allah Ta'ala akan membalasnya dengan sepuluh salam juga, sebagaimana balasanNya terhadap selawat.
Sabdanya yang lain:
"Akan terhinalah orang yang apabila aku disebut di hadapannya, maka dia tiada berselawat ke atasku."
Dalam sabda yang Iain berbunyi:
"Barangsiapa yang berpaling dari berselawat ke atasku, ketika mana aku disebut di hadapannya, kelak ia akan berpaling dari
jalan menuju ke syorga."
Rasulullah s.a.w. telah berpesan agar kita memperbanyak selawat ke atas Nabi, khususnya, pada hari Jumaat, sesuai dengan sabdanya:
"Perbanyakkanlah berselawat ke atasku pada hari Jumaat, kerana sesungguhnya selawat umatku dibentangkan kepadaku pada tiap-tiap Jumaat. Orang yang paling hampir kepadaku dalam kedudukannya, ialah orang yang paling banyak berselawat ke atasku."
Sabdanya lagi:
"Perbanyakkanlah selawat ke atasku pada malam yang mulia dan hari yang gemilang (malam Jumaat dan harinya).
Maka hendaklah setiap Mu'min itu memperbanyak selawat ke atas Rasulullah s.a.w. pada setiap waktu dan masa, teristimewa sekali pada malam Jumaat dan hari Jumaat. Sentiasa gandingkan salam bersama-sama dengan selawat, kerana Allah s.w.t. telah memerintahkan kedua-duanya sekaligus, sebagaimana firman Allah tersebut di atas tadi. Di dalam Hadis yang diriwayatkan dari Allah s.w.t. Nabi s.a.w. telah bersabda:
"Sesiapa yang berselawat ke atasmu, niscaya Aku (Tuhan) akan selawat ke atasnya, dan sesiapa yang memberi salam ke atasmu, niscaya Aku akan memberi salam ke atasnya jua."
Bagi orang yang berselawat dan bersalam ke atas Nabinya, hendaklah berselawat dan bersalam ke atas keturunannya sesudah itu, kerana baginda sangat mencintai orang yang melakukan demikian. Ada banyak Hadis yang menganjurkan berselawat dan bersalam ke atas keturunan Nabi Muhammad s.a.w. Di dalam sebuah atsar tersebut, bahwasanya selawat yang tidak disertakan ke atas keturunan Nabi itu dinamakan selawat yang kontot. Wallahu-a'lam.
No comments:
Post a Comment