Thursday, April 2, 2015

Mahabah(Cinta) Kepada Nabi Saw

Mahabah(Cinta) Kepada Nabi Saw

Image result for Mahabbah(Cinta) Kepada Nabi Saw


Tersebut dalam kisah bahawa seorang lelaki melihat sejenis makhluk yang amat mengerikan. Lalu dia bertanya, "Siapakah engkau?" Makhluk itu menjawab, "Akulah amalmu yang buruk." Lelaki itu bertanya, "Apakah caranya agar aku dapat selamal dari engkau?" Makhluk itu menjawab, "Dengan membaca selawat kepada Nabi saw."

Rasulullah saw bersabda:"Selawat kepadaku adalah nur atas titian. Barangsiapa membaca selawat kepadaku pada hari Jumaat lapan puluh kali, maka Allah akan mengampuni dosanya setahun."

Diceritakan bahawa seorang lelaki tidak pernah membaca selawat kepada Nabi saw. Pada suatu malam, dia bermimpi melihat Nabi saw. Baginda tidak menolehnya. Kemudian lelaki itu bertanya, "Wahai Rasulullah, apakah engkau marah padaku?" Rasulullah menjawab, "Tidak." Lelaki itu bertanya lagi, "Mengapa engkau tidak memandangku?" Kata Rasulullah, "Kerana aku tidak kenal kamu." Lalu lelaki itu berkata, "Bagaimana engkau tidak mengenaliku. Aku adalah lelaki umatmu. Padahal para ulama telah mengatakan bahawa engkau lebih mengenali umatmu daripada ayah ibunya." Rasulullah berkata, "Mereka benar. Aku tidak mengenalimu kerana engkau tidak mahu mengingatku dengan membaca selawat.Padahal aku kenal pada umatku itu bergantung kepada bacaan selawat mereka kepadaku." Kemudian lelaki itu terbangun. Lalu dia mewajibkan dirinya membaca selawat seratus kali setiap hari. Setelah dia melakukan demikian, maka beberapa hari kemudian dia bermimpi melihat Rasulullah seraya Rasulullah berkata, "Sekarang aku telah kenal engkau dan aku syafaati engkau." Iaitu kerana dia cinta kepada Rasulullah saw. Ketika Rasulullah saw mengajak Kaab bin Asyraf berserta sahabatnya masuk Islam, mereka berkata, "Kami ini sebagai putera-putera Allah tentu kami lebih menyintai Allah." Kemudian Allah berfirman kepada Nabi-Nya:


Ertinya: "Katakanlah: Jika kamu mengasihi Allah, ikutlah aku, nescaya Allah akan mengasihi kamu dan mengampuni dosamu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."
(Q.S. Al Imran: 31)


Tanda menyintai Allah adalah mengikuti perintah-perintah-Nya, mendahulukan taat kepada-Nya, mencari redha-Nya. Adapun cinta Allah kepada hamba-Nya yang mukmin bererti memuji mereka, memberi pahala kepada mereka, mengampuni mereka serta memberi nikmat kepada mereka dengan rahmat, penjagaan dan taufiq-Nya.

Barangsiapa mengaku empat hal tanpa bukti empat hal, pengakuannya adalah dusta. Barangsiapa mengaku cinta Syurga namun tidak taat, jelas dia bohong. Siapa mengaku cinta Nabi saw, namun tidak menyukai ulama dan fuqara, maka pengakuannya tidak benar. Lalu barangsiapa mengaku takut akan neraka, tetapi tidak meninggalkan maksiat, tanda dia dusta dan barangsiapa mengaku cinta kepada Allah, padahal dia mengeluh ketika ditimpa bala, maka pengakuannya adalah bohong. Sebagaimana Rabi'ah pemah bersyair:

Engkau derhaka
Tapi mengaku cinta pada-Nya

Inilah keanehan zamanku
Jika benar engkau cinta
Tentulah mentaati-Nya
Selalu
Pencinta akan taat pada kekasihnya!
Tanda mahabbah adalah mengikuti yang dicintai dan tidak akan menentangnya.

Diceritakan bahawa ada sekumpulan orang datang kepada Asy Syibli ra. Dia berkata, "Siapa kalian?" Mereka menjawab, "Kamilah para pencinta tuan." Dia menghadap kemudian ia melempari mereka dengan batu. Tentu saja mereka lari lintang pukang. Lalu Asy Syibli berkata, "Mengapa engkau lari dariku. Jika engkau benar menyintaiku, tentunya tidak lari dari ujianku." Kemudian Asy Syibli berkata, "Ahli mahabbah, mereka telah minum gelas cinta. Maka bumi dan negeri ini kelihatan sempit. Dan mereka sungguh makrifat kepada Allah. Mabuk dalam keagungan-Nya. Berlalu lalang dalam kekuasaan-Nya. Mereka sedap bercumbu dan bermunajat kepada-Nya." Setelah itu Asy Syibli bersyair:
Kata cinta wahai Tuhanku

Memabukkanku
Pernahkah Engkau lihat
Kekasih sejati tidak mabuk kepayang.

Dikatakan bahawa apabila unta sedang mabuk cinta maka dia tidak mahu makan sampai empat puluh hari. Kalau dibebankan dengan barang yang berlipatkali ganda, tetap dia akan bawa. Ketika hati dia asyik mengingat kekasihnya, maka dia tidak suka makan dan tidak merasa berat dimuati barang berlipat ganda. Itu demi cintanya. Jika demi cinta seekor unta mahu meninggalkan syahwatnya dan sanggup menanggung beban berat, adakah engkau telah meninggalkan syahwat yang diharamkan demi kerana Allah? Sudahkah engkau meninggalkan makanan dan minuman kerana Allah? Apakah engkau telah sanggup memikul beban berat demi kerana Allah? Bila sedikit pun engkau belum melakukan kebaikan itu, maka pengakuanmu adalah kosong belaka. Tidak berguna di dunia mahupun di Akhirat, di sisi makhluk atau di sisi khalik.

Diceritakan dari Ali kwj, dia berkata, "Barangsiapa merindukan Syurga, tentu akan cepat dan suka berbuat kebajikan. Barangsiapa takut kepada Neraka, tentu dia tahan nafsunya dari segala keinginan. Dan barangsiapa yakin akan mati, maka tidak begitu selera kepada kelazatan.

Ibrahim al-Khawwas ra pernah ditanya tentang 'Mahabbah'. Lalu dia berkata, "Mahabbah adalah menghapuskan segala kehendak, membakar semua sifat dan hajat serta menenggelamkan diri dalam lautan isyarat."


No comments:

Post a Comment