AMANAT DAN TAUBAT
Dirawikan dari Muhammad bin Munkadir ia berkata: "Kudengar ayahku berkata, "Suatu hari Sufyan ats-Tsauri ketika tawaf melihat lelaki yang selalu membaca selawat Nabi saw ketika duduk mahupun bangun. Sufyan bertanya, "Kau tidak bertasbih atau bertahlil dan kau ganti dengan selawat pada Rasulullah saw. Apakah dalam hal ini ada sesuatu padamu?"
Dia bertanya kembali, "Siapakah engkau." Aku menjawab, "Aku Sufyan." Kemudian dia menerangkan, "Kalau engkau tidak seorang zahid, tidak kuceritakan perihalku dan tidak kuberitahu rahsia ini kepadamu."
Kemudian lelaki itu berkata padaku, "Ayahku menunaikan haji ke Baitullah. Di suatu tempat beliau sakit Aku menunggu sampai beliau meninggal. Tiba-tiba wajah beliau menjadi hitam. Maka aku berkata, "Inna Lillahi Wa Inna Ilaihi Raji'un." Lalu kututup wajah beliau. Aku bersedih hingga tertidur.
Lalu aku bermimpi melihat lelaki berwajah tampan berpakaian cantik dan harum baunya. Dia berjalan mendekati ayahku dan membuka selimutnya serta mengusap-ngusap tangannya ke wajah beliau, hingga kembali putih. Lalu dia berlalu. Maka kutarik pakaiannya sambil kutanya, "Wahai hamba Allah, siapakah engkau? Lantaran engkau Allah memberi nikmat pada ayahku dinegeri asing." Dia berkata, 'Tidakkah kau kenal aku? Akulah Muhammad bin Abdullah. Pemilik al Qur'an. Ada pun orang tuamu memang keterlaluan. Tapi dia banyak membaca selawat padaku. Ketika ditimpa bencana, dia mohon pertolongan padaku. Sedang aku penolong orang yang membaca selawat padaku."
Kemudian aku terbangun dan wajah ayahku telah kembali putih.Dirawikan dari Amr bin Dinar dari Jaafar dari Nabi saw beliau bersabda:"Siapa lupa membaca selawat padaku, salahlah ia meniti jalan di Syurga."
Amanat bererti memberikan hak. Sedangkan lawannya khianat bererti mengurangi hak orang lain. Rasulullah saw bersabda:
"Pembohong, penipu dan pengkhianat tempatnya Neraka."
Beliau juga bersabda:
"Siapa bekerjasama dengan manusia. Dia tidak menzalimi mereka. Dan apabila berkata tidak bohong. Maka dia termasuk orang yang sempurna harga dirinya, terbukti keadilannya dan mestilah berkawan dengannya."
Seorang Arabi memuji suatu kaum. Dia berkata, "Mereka seorang yang baik dan memikat sebab menjaga amanat, tidak suka mengkhianati tanggungjawab dan tak pernah mencabuli kehormatan seorang muslim. Mereka umat terbaik."
Kini orang yang dipuji oleh Arabi itu telah tiada yang kita lihat hanyalah pakaiannya sahaja.
Sebagaimana dalam syair:
Dengan siapa orang percaya
Dan dari mana teman yang mula telah terjadi kebanyakan orang memakai topeng menutupi belang Yang lain bersyair pula:
Telah pergi orang-orang harapan Penjaga negeri dari kehancuran
Dirawikan dari Huzaifah bahawa RasuluUah saw bersabda:
"Sesungguhnya amanat akan diangkat dan manusia sama menjual diri. Hampir tidak seorang pun menunaikan amanat hingga dikatakan, "Pada Bani fulan ada orang yang jujur."
Dan ketahuilah bahawa taubat itu wajib berdasarkan beberapa ayat dan hadis. Allah swt telah berfirman:
"Bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman, mudah-mudahan kamu mendapat kemenangan."
(Q.S. An Nur: 31)
"Hai orang-orang yang beriman, taubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha."
(Q.S. Tahrim: 8)
Erti nasuha ialah, murni untuk Allah dan bersih dari segala kotoran. Kemudian tentang keutamaan taubat telah disebutkan dalam firman Allah:
"Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang taubat dan mengasihi orang-orang yang bersuci. " (Q.S. Al Baqarah: 222)
Sabda Nabi saw:
"Orang bertaubat adalah kekasih Allah dan orang yang bertaubat bagaikan orang yang tidak berdosa."
Beliau juga bersabda:
"Allah swt lebih suka taubat hamba mukmin daripada seorang lelaki yang datang ke tempat yang tidak aman, membawa kuda lengkap dengan bekalan makanan dan minuman. Lalu dia tertidur dan setelah bangun ternyata kudanya telah tiada. Dia mencarinya dengan bersusah payah menahan panas dan haus tetapi tidak bertemu lalu dia berdoa, "Pulangkanlah kuda itu padaku." Lantas dia letakkan kepalanya di atas lengannya hingga tertidur. Tiba-tiba kuda itu telah berada di sisinya lengkap dengan bekalannya. Maka Allah swt lebih suka taubat seorang hamba mukmin daripada lelaki itu menemukan kudanya."
Dirawikan dari al-Hasan dia berkata: Ketika Allah menerima taubat Adam as, para malaikat mengucapkan selamat. Jibril dan Mikail menghampirinya seraya berkata, "Hai Adam, nampaknya berasa senang sekarang kerana Allah menerima taubatmu." Adam as menyahut, "Hai Jibril, jika setelah taubat ini masih ada permintaan, dimanakah makamku?" Lalu Allah memberi wahyu padanya, "Hai Adam, Kutimpakan pada keturunan kepayahan dan Kuterima taubat mereka. Jika mereka berdoa pada-Ku, Kukabulkan seperti aku mengabulkanmu. Jika mereka mohon ampun, Aku tidak bakhil. Aku Maha dekat dan Maha Mengkabulkan. Kuhimpun orang-orang yang bertaubat dari kubur dengan gembira dan senyum. Doanya dikabulkan."
Rasulullah saw bersabda:
"Allah menerima taubat bagi orang yang berbuat buruk dari malam sampai siang atau dari siang sampai malam hingga terbit matahari. Yang perintah pasti menerima. Namun yang menerima belum tentu memerintah. Yang perintah pastilah Dia yang menerima."
Baginda bersabda:
"Jika kau berbuat kesalahan memenuhi langit, lalu menyesal, tentu Allah menerima taubatmu."
Baginda bersabda lagi:
"Seorang hamba berdosa, namun dia bersamanya masuk Syurga." Ditanyakan, "Bagaimana demikian ya Rasulullah?"
Baginda menjawab,
"Kerana matanya letih bertaubat juga menjauhi larangannya hingga masuk Syurga."
Baginda bersabda:
"Adalah penghapus dosa itu penyesalan."
Dan beliau bersabda lagi:
"Orang yang bertaubat seperti orang yang tidak berdosa."
Dirawikan bahawa seorang Habsyi bertanya, "Ya Rasulullah, aku telah berbuat kejahatan, bolehkah aku bertaubat?" Baginda menjawab, "Boleh." Lantas dia pergi dan kembali lagi seraya bertanya, "Ya Rasulullah, apakah Dia melihat perbuatanku?" Baginda menjawab, "Ya." Lalu dia menjerit hingga terkeluar rohnya.
Dirawikan bahawa ketika Allah melaknati Iblis, ia minta agar ditangguhkan seksaannya. Lalu Allah menangguhkannya sampai hari Kiamat Dia berkata, "Demi kemuliaan-Mu akan kupengaruhi anak cucu Adam selagi dia bernyawa." Allah berkata, "Demi keagungan-Ku akan Kupagari dia dengan taubat selagi dia bernyawa."
Rasulullah saw bersabda:
"Sesungguhnya kebaikan itu dapat menghapuskan keburukan bagai air menghapuskan kotoran."
Dari Sa'id bin Musayyab, dia berkata, "Allah menurunkan firman-Nya:
"Sesungguhnya Dia Maha Pengampun bagi orang-orang yang bertaubat."
(Q.S. Al Israk: 25)
Iaitu pada lelaki yang berdosa lalu bertaubat dan berdosa lagi kemudian bertaubat.
Telah berkata Fudhail: Allah berfirman, "Berilah khabar getnbira bagi orang- orang yang berdosa bahawa jika mereka bertaubat akan diterima. Dan takutilah orang-orang siddiq bahawa jika Aku letakkan keadilan-Ku, tentu Kuseksa mereka."
Abdullah bin Umar berkata, "Siapa mengingat kesalahan dan hati menyesalinya, terhapuslah dosanya dari catatan."
Dirawikan bahawa seorang Nabi melakukan dosa. Lalu Allah memberinya wahyu: "Demi kemuliaan-Ku, jika Kuhitung akan kuseksa kamu."
Nabi itu berkata, "Ya Tuhanku Engkau adalah Engkau. Sedangkan aku adalah aku dan kemuliaan-Mu. Jika tidak Kau jaga aku maka bengkoklah aku." Kemudian Allah swt menjaganya.
Dirawikan bahawa seorang lelaki bertanya kepada Ibnu Mas'ud tentang dosa yang disesali bolehkah diterima taubatnya. Ibnu Mas'ud berpaling. Lalu menoleh lagi. Dia melihat kedua-dua mata lelaki itu berkaca-kaca. Maka dia berkata, "Syurga itu ada lapan pintu. Kadang-kadang dibuka dan kadang-kadang ditutup. Kecuali pintu taubat Di situ ada malaikat yang diperintahkan tidak menutup-nya. Beramallah dan jangan berputus asa."
Dirawikan bahawa pemuda Bani Israil telah menyembah Allah dua puluh tahun. Lalu menderhakai-Nya dua puluh tahun. Dia merasa janggutnya telah beruban dan dia bersedih lalu berkata, "Wahai Tuhanku, kutaati Engkau dua puluh tahun dan kuderhakai Engkau dua puluh tahun. Jika kukembali pada-Mu, adakah Kau menerimaku?"
Lalu dia mendengar satu suara berkata, "Kau memenuhi-Ku maka Aku mengkabulkanmu. Kamu tinggalkan Aku maka aku meninggalkanmu. Kamu derhaka pada-Ku, maka Kutunggu engkau. Jika kembali pada-Ku tentu Kuterima."
Dirawikan dari Ibnu Abbas ra bahawa Rasulullah saw bersabda:
Ketika hamba bertaubat, Allah menerimanya dan melupakan malaikat Hafazah akan keburukan amal yang ditulisnya, melupakan anggota badannya dan kesalahan yang diperbuat serta melupakan bumi dan langit sebagai tempatnya agar dia datang di hari Kiamat tanpa ada makhluk yang mempersaksikannya.
Dirawikan dari Ali ra dari Nabi saw beliau bersabda:
Tertulis di sekitar Arasy empat ribu tahun sebelum makhluk terciptakan, "Sesungguhnya Aku pengampun orang yang bertaubat, beriman dan beramal soleh, kemudian mendapat petunjuk."
Sesungguhnya segera bertaubat dari dosa besar mahupun kecil adalah wajib ain. Membiasakan dosa kecil akan menjadi dosa besar pula.
"Dan orang-orang, apabila mereka berbuat kejahatan atau menganiaya dirinya, mereka ingat akan Allah...."
(Q.S. Al Imran :135)
Taubat nasuha adalah taubat lahir batin, menyesal, dan tidak akan mengulanginya lagi. Taubat lahirnya saja bagai panci tertutup sutera indah. Namun ketika orang membukanya akan berpaling jua. Demikianlah melihat orang yang lahirnya taat. Jika kedok itu terbuka di hari Kiamat, para malaikat berpaling. Oleh kerana Rasulullah saw bersabda, "Allah tidak melihat rupamu tetapi melihat hatimu."
Dari Ibnu Abbas ra dia berkata, "Betapa banyak orang yang bertaubat ketika datang hari Kiamat mengira dia telah bertaubat, tetapi sebenarnya tidak." Sebab tanpa disertai akan penyesalan, berjanji tidak akan mengulanginya, membendung kezaliman, serta memperbanyak istighfar dengan demikian mungkin Allah akan menerima dan menghapuskan dosanya. Orang yang berakal haruslah mengoreksi diri dan tidak melupakan dosanya.
Seperti dikatakan:
Wahai orang yang berdosa masa silam jangan kau lupa Taubatlah sebelum mati Jika engkau mengakui
Abul Laits merawikan dengan sanadnya, dia berkata, "Umar ra menghadap Rasulullah saw dengan menangis. Baginda menegurnya, "Mengapa engkau menangis wahai Umar?" Umar berkata, "Ya Rasulullah depan pintu itu ada seorang pemuda sedang menangis telah membakar hatiku." Baginda berkata, "Suruh dia masuk." Setelah pemuda itu masuk sambil menangis, Rasulullah menegurnya, "Mengapa engkau menangis wahai pemuda?" Pemuda itu menjawab, "Ya Rasulullah dosaku yang banyak telah membuatkan aku menangis. Aku takutkan kemarahan Allah menimpaku." Rasulullah saw bersabda, "Apakah kau sekutukan Allah?" Dia menjawab, "Tidak." Rasulullah bertanya lagi, "Adakah kau membunuh orang tanpa sebab." Dia menjawab, "Tidak." Maka Rasulullah berkata, "Allah akan mengampuni dosamu. Meskipun dosamu setinggi langit dan sedalam bumi lapisan yang ketujuh." Namun lelaki itu berkata, "Dosaku itu lebih besar, ya Rasulullah." Rasulullah bertanya lagi,"Dengan Kursi?" Dia berkata, "Lebih besar lagi ya Rasulullah." Rasulullah bertanya lagi, "Dengan Arasy?" Dia menjawab, "Lebih besar dari itu." Rasulullah berkata, "Dengan ampunan Tuhan?" Dia menjawab, "Tentu saja Allah lebih agung." Kemudian Rasulullah saw bersabda, "Sesungguhnya tidak ada yang mengampuni akan dosa besar selain Tuhan yang Maha Agung ampunanNya. Lalu Rasululah bertanya, "Ceritakan kepadaku tentang dosamu!" Pemuda itu berkata, "Aku malu padamu ya Rasulullah." Rasulullah saw berkata, "Tidak perlu, ceritakan saja." Lalu pemuda itu berkata, "Aku menggali kubur salah seorang gadis Ansar tujuh tahun yang lalu. Kuambil kain kafannya dan kubuang dia tidak jauh. Lalu syaitan menggoda aku. Hingga aku kembali dan menjimaknya dan kubuang dia tidak jauh dari situ. Tiba-tiba gadis itu berdiri dan berkata, "Celaka engkau wahai pemuda. Tidakkah kau malu berhutang dengan orang zalim kepada orang yang dizalimi. Kau tinggalkan aku telanjang d iantara mayat dan kau buat aku junub di hadapan Allah." Lalu Rasulullah saw tersentak dan membelakanginya seraya berkata, "Hai orang fasik, seeloknya Nerakalah tempat selayaknya untukmu. Keluarlah dariku!"
Pemuda itu keluar dan bertaubat kepada Allah empat puluh malam. Setelah selesai dia mengadap mukanya ke langit seraya berkata, "Ya Tuhan Muhammad, Adam dan Ibrahim! Jika Kau ampuni aku beritahukan pada Muhammad dan sahabat-sahabatnya. Jika tidak turunkan api dari langit, bakarlah aku dan selamatkan aku dari seksa akhirat." Kemudian Jibril as turun menghampiri Nabi saw seraya berkata, "Ya Muhammad Tuhan kirim salam kepadamu dan bertanya padamu: "Apakah kau yang menciptakan makhluk?" Nabi menjawab, "Tidak, bahkan Dia yang menjadikanku dan mereka serta memberi rezeki padaku dan mereka." Jibril berkata, "Dan Allah berfirman padamu bahawa Dia menerima taubat pemuda itu." Kemudian Nabi saw mengundangnya dan memberi khabar gembira bahawa Allah menerima taubatnya.
Diceritakan bahawa pada zaman Musa as ada lelaki tidak pernah sudah dalam bertaubat. Jika bertaubat dia terbuat dosa lagi. Demikianlah sampai dua puluh tahun. Lalu Allah memberi wahyu pada Nabi Musa: "Katakan pada hamba-Ku si fulan: Aku murka padanya. Lalu Nabi Musa katakan hal itu padanya. Hingga dia bersedih dan pergi ke padang luas seraya berkata, "Habiskah rahmat-Mu atau Engkau bakhil pada hamba-Mu?" Jika dosa lebih besar dari ampunan-Mu, padahal kemuliaan itu sifatmu yang Qadim sedangkan cela itu sifatku yang hadis. Adakah sifatku mengalahkan sifatmu? Jika Kau tutup hambaMu dari rahmat-Mu, siapalah yang diharapkan mereka? Jika Engkau tolak siapakah yang mereka tuju? Ya Tuhanku jika rahmat-Mu telah habis dan mesti menyeksaku, maka bebankan padaku seksa semua hamba-Mu. Aku tebus mereka dengan diriku." Lalu Allah berfirman: "Hai Musa, pergilah dan katakan, meskipun dosamu memenuhi bumi, tetap Kuampuni setelah aku tahu kesempumaan qudrah, ampunan dan rahmat-Ku."
Rasulullah saw bersabda:
"Tidak ada suara yang lebih disukai Allah daripada suara rintihan hamba yang berdosa lalu bertaubat dan berkata, "Ya Tuhanku!” Lalu Tuhan berkata, "Baiklah wahai hamba-Ku mintalah apa yang kau mahu. Kau hamba-Ku seperti sebahagian malaikat-Ku. Aku dikanan, kiri dan atasmu. Lebih dekat dari isi hatimu. Hai malaikat saksikan Aku telah mengampuninya."
Zun Nun al-Masri ra berkata, "Allah memiliki hamba-hamba yang menanam pohon-pohon kesalahan dan menyiramnya dengan air taubat hingga berbuah duka dan penyesalan. Mereka gila. Tapi sebenarnya tidak. Bahkan merekalah yang telah mengenal Allah dan Rasul-Nya. Lalu mereka minum segelas air 'kesucian' membuatnya sabar atas bala. Hati mereka menerawang. Fikiran mereka menjulang antara bintang, bernaung di bawah penyesalan. Membaca lembaran kesalahan, membuat jiwanya tergetar hingga sampai ketinggian zuhud dengan tangga warak. Mereka paksa tinggalkan dunia dan suka kesederhanaan mengharapkan tali keselamatan. Roh mereka damai di taman kemuliaan hingga tinggal di taman kenikmatan. Menahan keluh dan keinginan hingga turun dengan kefanaan ilmu dan meminum rawa hikmah, naik perahu fathanah (kecerdasan), terbawa angin keselamatan dalam lautan keselamatan hingga sampai ke taman kedamaian, kemuliaan dan karamah."
No comments:
Post a Comment