Dusta: Bencana yang terutama
Di antara bencana-bencana lidah yang terutama sekali, ialah berdusta. Yakni menyampaikan sesuatu berita tidak seperti yang benar-benar berlaku, samada mengakui sesuatu berita yang tidak pernah berlaku, misalnya dengan berkata: Telah berlaku begini dan begini, padahal perkara itu tidak pernah berlaku. Ataupun menafikan sesuatu yang pernah berlaku, misalnya dengan berkata: Tidak pernah berlaku begini dan begini, padahal perkara itu memang pernah berlaku.Dosa berdusta atau bercakap bohong itu adalah dosa besar, kerana ia bertentangan dengan sifat iman. Lantaran itu orang yang berdusta itu terdedah dirinya oleh kemurkaan dan kutukan Allah s.w.t.
Firman Allah Ta'ala:
"Hanyalah orang-orang yang tiada percaya kepada keterangan-keterangan Allah itulah yang mengada-adakan kedustaan, dan merekalah orang-orang pendusta." (an-Nahl: 105)
FirmanNya lagi:
"Kami mengharapkan kutukan Allah menimpa orang-orang yang mendusta." (ali Imran: 61)
Rasulullah s.a.w. telah bersabda pula:
"Orang yang berdusta itu ialah orang yang melaknati diri sendiri."
Sabdanya lagi:
"Sesungguhnya dusta itu akan menyeret tuannya untuk melanggar perintah Allah, dan melanggar perintah pula akan menyebabkan tuannya masuk neraka. Dan seseorang hamba itu akan terus berdusta dan suka menyampaikan berita-berita bohong, sehingga ditulis di sisi Allah sebagai seorang pendusta."
Rasulullah s.a.w. pernah ditanya: Bolehkah seorang Mu'min itu bercakap bohong? Jawab baginda: Tidak boleh. Hanyasanya orang-orang yang bercakap bohong itu, ialah orang-orang yang tiada mempunyai keterangan-keterangan Allah.
No comments:
Post a Comment