Wednesday, May 6, 2015

Menganjur anak-isteri supaya memelihara sembahyang

Menganjur anak-isteri supaya memelihara sembahyang

Jika wajib anda memelihara sembahyang, dan haram melalaikannya, maka wajib juga anda menganjurkan anak-isteri anda, dan sesiapa di dalam tanggungan anda untuk mendirikan sembahyang, dan jangan berikan apa-apa uzur pun untuk meninggalkannya. Siapa yang tidak patuh kepada perintah sembahyang itu, maka hendaklah anda ancam dan kerasinya. Hendaklah anda marah terhadapnya dengan sesangat marah, lebih dari marah anda jika ia merosakkan hartabenda anda. Jika anda tidak lakukan seperti itu, niscaya anda akan dikira sebagai orang yang meringankan hak-hak Allah, atau orang yang memandang ringan terhadap agama Allah.

Jika sesudah anda marah dan anda kerasi, ia masih juga tidak mahu sembahyang, malah menentangmu, maka hendaklah anda jauhkan diri daripadanya, kerana ia adalah syaitan, tidak ada guna dan tidak ada berkat padanya, haram menurutkan kemahuannya dan haram bercampur-gaul dengannya. Sepatutnya ia ditentang dan diputuskan hubungan, kerana ia telah menjadi orang yang menentang Allah dan RasulNya.

Firman Allah Ta'ala:
"Tiada kamu mendapati kaum yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat itu mencintai orang yang menentang Allah dan RasulNya, sekalipun orang itu bapa mereka atau anak-anak mereka." (al-Mujadalah: 22)

Allah Ta'ala telah menafikan keimanan orang yang mencintai siapa saja yang menentang Allah dan menentang RasulNya, meskipun mereka itu orang-orang yang terdekat sekali kepada kamu.

Tidak ada uzur untuk meninggalkan sembahyang, kecuali terhadap orang jahil yang lalai lagi lupa, apabila ia telah meluputkan sesuatu sembahyang, hendaklah disuruh mengqadhakkannya beserta taubat dan berjanji tidak akan kembali meluputkannya lagi. Adapun meninggalkannya tanpa sebab, maka tidak ada uzur samasekali. Betapa tidak, dengan meluputkan sembahyang dari waktunya saja sudah mendapat dosa yang besar, walaupun ia segera mengqadhakkannya dengan serta-merta. Bukanlah dinamakan uzur, apabila ia meluputkan sembahyang dari waktunya kerana terlalu sibuk dengan urusan dunia, atau seumpamanya. Tidak ada uzur samasekali untuk meninggalkan sembahyang, melainkan orang tertidur ataupun terlupa saja.

No comments:

Post a Comment